KEMENTERIAN PENERANGAN KOMUNIKASI DAN KEBUDAYAAN (KPKK)
OLEH
YANG BERBAHAGIA DATO’ DR. ROTHIAH OMAR, SETIAUSAHA KANAN (PENGURUSAN) KPKK
PADA 25 MEI 2010 (HARI SELASA), JAM 8.30 PAGI
DI
AUDITORIUM BALAI SENI LUKIS NEGARA
___________________________________________________________
Bismillahirrahmanirrahim.
Yang Berusaha Encik Ahmad Nazari bin Mohd. Hanapiah, Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Kementerian, merangkap Penasihat II AKRAB KPKK,
Puan Zanita Anuar, Pemangku Ketua Pengarah, Balai Seni Lukis Negara selaku tuan rumah kepada program seminar.
Encik Norazmin bin Hassan, Pengerusi AKRAB KPKK.
Ketua-Ketua Jabatan, Ketua-Ketua Bahagian, dif-dif kehormat, Penyelaras dan Ahli-ahli AKRAB Kementerian, Barisan Urusetia, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekelian.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.
1. Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, kita dapat berkumpul bersama-sama pada hari ini dalam majlis ilmiah Seminar Art Therapy atau Terapi Seni anjuran Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dengan kerjasama Bahagian Pengurusan Sumber Manusia KPKK dan Balai Seni Lukis Negara.
2. Saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada AKRAB Kementerian dan Bahagian Pengurusan Sumber Manusia KPKK kerana sudi menjemput saya untuk merasmikan majlis ini.
3. Saya percaya ramai di kalangan pegawai dan warga Kementerian sudah tahu kewujudan AKRAB di Kementerian, sudah mengenali peranan dan fungsinya atau sedikit sebanyak sudah mula merujukkan diri untuk berkongsi masalah dengan rakan AKRAB ini.
Tuan-tuan / Puan-puan yang dihormati sekalian.
4. Tuntutan persekitaran kerja di masa kini memerlukan setiap individu memiliki semangat dan daya juang yang besar. Memiliki latar belakang akademik yang tinggi belum tentu menjanjikan kestabilan tahap mental yang tinggi juga. Ada kalanya mereka terlalu ghairah untuk mengejar nilai material atau kebendaan tetapi lupa tentang nilai atau sentuhan kemanusiaan sejagat. Ketidakseimbangan inilah yang menjuruskan diri kita maju dalam nilai individualisme yang memberi kepentingan terhadap kebendaan semata-mata tetapi kurang nilai kolektivisme atau nilai kemanusiaan yang mementingkan sifat-sifat kemanusiaan ke arah mewujudkan masyarakat yang suka tolong-menolong, bekerjasama dan saling bantu-membantu.
5. Oleh itu, menyentuh tentang aspek nilai-nilai kemanusiaan ini yang seharusnya wujud di persekitaran bekerja, Pekeliling Perkhidmatan bilangan 18 tahun 2005 diadakan khusus untuk menzahirkan barisan Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam atau AKRAB yang dilantik sebagai pembimbing rakan dengan mencerminkan nilai-nilai integriti seperti Amanah, Komitmen, Rasional, Akhlak, Bestari.
6. Selain AKRAB, kita juga kerap mendengar tentang pembimbing rakan sebaya, pembimbing rakan sekerja, pegawai khidmat nasihat, pegawai khidmat kaunseling atau banyak lagi gelaran yang digunakan oleh pelbagai Jabatan dan Agensi. Namun hakikatnya, kepelbagaian gelaran nama-nama ini lebih merupakan penjenamaan semula versi dan dalam perkhidmatan awam, mereka ini memainkan peranan sebagai rakan pembimbing keseluruhannya. Menjadi Individu AKRAB perlu menjalani latihan dan memenuhi syarat kursus bagi Program Peningkatan Kemahiran Kaunseling sebanyak tiga peringkat iaitu asas, pertengahan dan lanjutan. Manakala inputnya disediakan oleh Bahagian Perkhidmatan Psikologi, Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia.
7. Saya berbangga ahli-ahli AKRAB Kementerian yang mencecah hampir 80 orang telah mula menunjukkan pencapaian baik. Bilangan ini akan bertambah dengan kemasukan 30 orang ahli AKRAB yang bakal menamatkan kursus dan latihan kemahiran bimbingan kaunseling tiga peringkat di kalangan pegawai di Jabatan Penyiaran.
8. Saya difahamkan ahli-ahli AKRAB secara praktikalnya telah berjaya menangani sendiri beberapa kes individu bermasalah dan didokumenkan secara rasmi. Manakala ahli AKRAB yang lainnya terus aktif mengadakan aktiviti bimbingan dan asas kaunseling tidak formal dalam kalangan pegawai dan warga Kementerian. Sekurang-kurangnya fungsi AKRAB ini dirasakan amat penting untuk menyokong dan memelihara emosi rakan dengan terkawal. Justeru itu, ahli-ahli AKRAB sebagai satu kelompok dalam sebuah kementerian dibenarkan mencipta identiti sendiri, supaya kehadiran dan penubuhannya dapat dirasai dan menepati matlamat penubuhan kelompok ini.
9. Seharusnya kita maklum perasaan dan emosi negatif yang dipendam akan mewujudkan konflik diri pegawai. Oleh itu, ia perlu disalurkan secara positif. Oleh itu, AKRAB boleh memainkan peranan penting dalam membantu pegawai untuk meluahkan perasaan dan berkongsi pandangan serta pengalaman secara profesional. Saya berharap ahli AKRAB akan menjadi role model kepada pekerja yang lain.
Tuan-tuan / Puan-puan yang dihormati sekalian,
10. Berbalik kepada Seminar hari ini, mengapa Art Therapy dijadikan bahan utama bengkel dan apa mesej yang ingin disampaikan menerusi sesi kuliah, bengkel dan lawatan Le Tour De Gallery ini? Dalam konteks perubatan dan rawatan kesihatan mental, art therapy digunakan secara aktif di klinik-klinik kesihatan oleh pakar-pakar kesihatan mental dan psikologis. Art therapy juga digunakan secara non-klinikal seperti di studio-studio atau bengkel yang berfokuskan kepada pembangunan kreatif.
11. Art Therapy merupakan suatu bentuk terapi luahan yang menggunakan pelbagai instrumen atau bahan-bahan seperti cat, kapur, pen dan sebagainya. Art therapy merupakan gabungan teori dan teknik-teknik tradisional psikoterapi dengan kefahaman tentang aspek psikologi manusia dalam konteks proses kreatif terutama keberkesanannya melalui kepelbagaian bahan-bahan seni kreatif.
12. Oleh tiu, penganjuran Seminar Art Therapy adalah amat bertepatan dengan hasrat untuk memurnikan kefahaman dan penerimaan warga KPKK sendiri tentang keunikan seni, kelebihan serta impaknya terhadap aplikasi psikologi dan kaunseling.
13. Seminar Art Therapy selama dua hari ini merupakan seminar yang julung kali diadakan oleh ahli-ahli AKRAB Kementerian dan merupakan program kemuncak dengan penyertaan seramai 150 orang di kalangan pegawai dan warga Kementerian, termasuk pegawai dan ahli-ahli AKRAB Kebangsaan juga. Semoga impak keberkesanan seminar selama dua (2) hari ini dapat memberi peluang kepada peserta untuk mendapatkan maklumat dan pendedahan awal tentang art therapy dari pakar-pakar serta pengamal terapi yang dijemput untuk berkongsi ilmu dan kepakaran mereka sekaligus ianya diharap sebagai satu usaha ke arah penerapan minat dan apresiasi terhadap seni.
14. Adalah menjadi tanggungjawab individu menguasai ilmu dan kemahiran untuk mencapai kesejahteraan dalam hidup dan kehidupan. Individu yang memiliki jatidiri yang tinggi, adalah individu yang berilmu dan mahir untuk menggunakana secara optimum segala sumber di persekitaran secara positif dan holistik. Apabila wujudnya ciri-ciri dan nilai-nilai yang ingin dihasratkan ini, kesan dari penzahiran individu yang kukuh jatidirinya, maka `modenisasi sekular’ yang datang dari sudut mana sekalipun tidaklah dibimbangi lagi.
Tuan-tuan / Puan-puan yang dihormati sekelian,
15. Ruang lingkup aspek psikologi dan kaunseling adalah sangat luas. Selaras dengan tumpuan kerajaan yang menekankan aspek transformasi dan pembangunan modal insan, saya berpendapat gabungan sentuhan seni dan kefahaman psikologi yang tinggi melalui pendekatan terapi seperti ini samada sebagai instrumen perawatan atau sebagai satu media interaksi di antara minda dan emosi sebenarnya dapat melahirkan pekerja yang kreatif dan kritis.
16. Saya juga melihat kelebihan kepada Balai Seni Lukis Negara iaitu sebagai sebuah Agensi di bawah Kementerian ini sebagai satu platform yang mantap bagi memurnikan lagi penggunaan terapi dalam kalangan masyarakat terutama pengamal-pengamal perubatan, kaunseling dan psikologi.
17. Sesuai dengan pendekatan AKRAB bermatlamat membentuk budaya kerja berpasukan, budaya tolong menolong dan nilai-nilai kemanusiaan, saya mengalu-alukan inisiatif Kementerian ini untuk menyemarakkan lagi Program Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam atau AKRAB seperti Seminar Art Therapy ini. Tahniah dan syabas saya ucapkan.
18. Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, adalah diharapkan agar Seminar Art Therapy selama dua hari ini dapat memberi kesedaran dan kefahaman kepada para peserta tentang kelebihan Art Therapy kepada kehidupan seharian dan seterusnya meningkatkan pengetahuan kepada para peserta mengenai seni visual sebagai satu kaedah perawatan melalui pendekatan psikologi dan kaunseling.
19. Dengan itu, saya dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, dengan sukacitanya merasmikan Seminar Art Therapy anjuran Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) Kementerian dengan kerjasama Bahagian Pengurusan Sumber Manusia KPKK dan Balai Seni Lukis Negara.
Sekian, Wabillahi taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Terima kasih.