Wednesday, June 9, 2010



PERASMIAN PENUTUP SEMINAR ART THERAPY
KEMENTERIAN PENERANGAN KOMUNIKASI DAN KEBUDAYAAN (KPKK)
OLEH
YANG BERUSAHA ENCIK AHMAD NAZARI BIN MOHD HANAPIAH,
SETIAUSAHA BAHAGIAN PENGURUSAN SUMBER MANUSIA KPKK
PADA 26 MEI 2010 (HARI RABU), JAM 4.30 PETANG
DI AUDITORIUM BALAI SENI LUKIS NEGARA

___________________________________________________________

Bismillahirrahmanirrahim.

Y.Brs. Encik Norazmin bin Hassan, Pengerusi AKRAB KPKK.

Ketua-Ketua Jabatan, Ketua-Ketua Bahagian, dif-dif kehormat, Penyelaras dan Ahli-ahli AKRAB Kementerian, Barisan Urusetia, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekelian.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.

1. Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, kita dapat menyempurnakan majlis ilmiah Seminar Art Therapy atau Terapi Seni anjuran Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dengan kerjasama Bahagian Pengurusan Sumber Manusia KPKK dan Balai Seni Lukis Negara.

2. Saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada AKRAB Kementerian kerana sudi menjemput saya untuk menutup secara rasmi majlis ini.

Tuan-tuan / Puan-puan yang dihormati sekalian.

3. Program Seminar Art Therapy selama dua hari, mulai 25 dan 26 2010 yang merupakan program yang julung kali diadakan di Kementerian, telah menyingkapkan satu pilihan pendekatan rawatan menggunakan aplikasi psikologi dan kaunseling yang mungkin sebahagian besar dari kita belum pernah terlintas di fikiran untuk mempraktikkan lagi.

4. Sebelum menghadiri sesi program ini, saya percaya ramai di antara kita kurang memahami tentang kelebihan Art Therapy dan apa kaitannya dengan pembangunan kreatif terhadap diri seseorang individu. Secara tidak kita sedari dan dalam konteks Malaysia yang dikira pengamal praktisnya agak `junior’ berbanding negara-negara barat yang telah sedia well established, Art Therapy rupa-rupanya bukanlah alternatif rawatan yang baru, malah ianya digunakan secara aktif di klinik-klinik kesihatan oleh pakar-pakar kesihatan mental dan psikologis. Malah paling membanggakan kita, Art therapy juga digunakan secara non-klinikal seperti di studio-studio atau bengkel yang berfokuskan kepada pembangunan kreatif.

5. Setelah mendapat pendedahan menerusi program seminar ini, saya percaya kita telah sedikit sebanyak mulai faham tentang kelebihan Art Therapy dan cabarannya di Malaysia menerusi sesi ceramah, latihan amal, forum dan lawatan ke galeri lukisan.

6. Menerokai ilmu Art Therapy yang memiliki kelebihannya yang tersendiri, jika diamati dan dipraktikkan tidaklah sesukar mana atau melibatkan kos yang tinggi. Dengan bermain tanah liat, pasir, model-model mainan seperti anak patung, haiwan, pokok-pokok, lukisan serta medium seni tampak lain seperti menari, berlawak jenaka dsb adalah merupakan proses luahan emosi yang tergambar dari kejauhan jiwa dan kedalaman hati seseorang individu. Malah lebih bertepatan melihat konteks Art Therapy sebagai suatu bentuk terapi luahan yang menggunakan pelbagai instrumen atau bahan-bahan seperti cat, kapur, pen dan sebagainya.

Tuan-tuan / Puan-puan yang dihormati sekalian.

7. Seperti mana yang dinyatakan dalam ucapan perasmian seminar dari Y.Bhg. Dato’ SUBK (Pengurusan) Kementerian pada pagi semalam, bahawa memiliki latar belakang akademik yang tinggi belum tentu menjanjikan kestabilan tahap mental yang tinggi juga.

8. Kita serakah mengejar nilai material atau kebendaan tetapi lupa tentang nilai atau sentuhan kemanusiaan. Mengapa terjadinya pemberontakan jiwa dalam kalangan para remaja dewasa ini? Mengapa berlakunya keganasan rumah tangga sehingga bahtera dibina atas dasar cinta musnah dilanda musibah yang tidak diduga? Atau apa juga isu sosial yang konvensional melanda di seluruh pelusuk dunia. Tuan dan puan sekelian, tidak ada apa yang dapat kita kaitkan melainkan kelemahan atau kegagalan kita mengenali `siapa diri kita’ yang sebenarnya. Kegagalan asas inilah yang dilihat sebagai punca segala macam penyakit sosial masa kini. Inilah musibahnya jika kita tidak memiliki pengetahuan dan kemahiran kemanusiaan itu sendiri, kelemahan tentang kaedah kendalian kendiri, kegagalan mengemudikan keluarga dengan skil keibubapaan, kedaifan tentang memahami kehendak dan keperluan persekitaran, justeru tidak peka dengan tuntutan ahli keluarga terdekat, masyarakat dan persekitaran.

9. Ketidakseimbangan inilah yang menjuruskan diri kita maju dalam nilai individualisme yang memberi kepentingan terhadap kebendaan semata-mata tetapi kurang nilai kolektivisme atau nilai kemanusiaan yang mementingkan sifat-sifat kemanusiaan ke arah mewujudkan masyarakat yang suka tolong-menolong, bekerjasama dan saling bantu-membantu antara satu sama lain.

10. Art therapy merupakan satu alternatif perawatan yang sangat bernilai jika kita faham akan prosidur, proses dan etika tata caranya. Fahami diri kita dan ahli-ahli keluarga terdekat dengan kaedah perawatan ini. Ambil kebaikannya untuk kita mengembangkan daya kreativiti dan jangan mengukur atau menghakimi luahan emosi ini secara tergesa-gesa tanpa membuat pengukuhan penilaian yang difahami secara bersama. Sukacita diingatkan bahawa kebaikan Art Therapy ini menggabungjalinkan antara teori dan teknik-teknik tradisional psikoterapi dengan kefahaman tentang aspek psikologi manusia dalam konteks proses kreatif terutama keberkesanannya melalui kepelbagaian bahan-bahan seni kreatif.

Tuan-tuan / Puan-puan yang dihormati sekalian.

11. Kita merasa bertuah kerana dapat mengundang penceramah dan panel-panel forum dengan pelbagai latarbelakang sektor penceburan mereka. Ada di antaranya merupakan Kaunselor, Pengamal Terapi Persendirian, Pensyarah dari Universiti dan NGO yang terlibat dengan aktiviti sukarela berbentuk kemasyarakatan. Kesemua mereka ini memiliki pengetahuan dan kemahiran psikologi dan kaunseling, dan satu kredit tidak ternilai adalah memiliki ilmu Art Therapy juga.

12. Saya mengambil kesempatan ini merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih tidak terhingga atas sumbangan ilmu yang dicurahkan kepada kita semua. Ada di antara mereka yang ingin bekerjasama dengan kita di Kementerian bagi program seumpamanya di masa-masa akan datang juga. Insyalah, kita akan mengundang mereka lagi.

13. Saya berharap tuan dan puan sekelian telah mendapat manfaat dalam program ilmu selama dua hari ini. Adalah menjadi tanggungjawab individu menguasai ilmu dan kemahiran untuk mencapai kesejahteraan dalam hidup dan kehidupan. Individu yang memiliki jatidiri yang tinggi, adalah individu yang berilmu dan mahir untuk menggunakan secara optimum segala sumber di persekitaran secara positif dan holistik. Apabila wujudnya ciri-ciri dan nilai-nilai yang ingin dihasratkan ini, maka kita akan memiliki jatidiri yang kukuh serta memahami kehendak diri, orang lain dan persekitaran.

14. Saya juga merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Balai Seni Lukis Negara kerana menyedia ruang untuk menjadikan program ilmu ini menjadi kenyataan. Terima kasih si daun keladi! Saya berharap kelebihan yang ada di Balai Seni Lukis Negara iaitu sebuah Agensi di bawah Kementerian ini akan sentiasa menjadi platform yang mantap bagi memurnikan lagi penggunaan terapi dalam kalangan masyarakat terutama pengamal-pengamal perubatan, kaunseling dan psikologi.

15. Akhir sekali, saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada barisan AJK dan ahli AKRAB KPKK kerana berjaya mengendalikan program Seminar Art Therapy ini dengan licin dan lancar sekali. Saya difahamkan ada di kalangan peserta seminar yang memuji langkah AKRAB menjadikan Seminar Art Therapy ini sebagai aktiviti kemuncak mereka bagi tahun ini.

16. Aktiviti perdana dan julung AKRAB ini merupakan medium penggerak atau pencetus kepada usaha-usaha pengenalan Art Therapy dan kelebihannya dalam kerangka membantu individu dan kumpulan terhadap tanggungjawab diri mereka khasnya dan tanggungjawab sosial mereka amnya. Ini bersesuai dengan pendekatan AKRAB bermatlamat membentuk budaya kerja berpasukan, budaya tolong menolong dan nilai-nilai kemanusiaan. Tahniah dan syabas saya ucapkan.

17. Dengan itu, saya dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, dengan sukacitanya menutup dengan rasminya Seminar Art Therapy anjuran Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) Kementerian dengan kerjasama Bahagian Pengurusan Sumber Manusia KPKK dan Balai Seni Lukis Negara.

Sekian, Wabillahi taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Terima kasih.

No comments:

Post a Comment